Ahad, April 18, 2010

pertukaran guru..

Proses pertukaran guru dilakukan secara adil

HULU SELANGOR - Kementerian Pelajaran sedang membangunkan satu sistem maklumat lengkap bagi memastikan proses pertukaran guru di negara ini dilakukan secara adil, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Beliau berkata sistem itu yang sedang dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat (IT) kementerian, akan memastikan proses pertukaran guru dibuat berdasarkan kepada keperluan guru di sesuatu sekolah.

“Kita akan bangunkan satu sistem maklumat lengkap untuk mengetahui pengalaman mengajar seseorang guru dan sama ada pernah ditukarkan ke sekolah di kawasan pedalaman.

“Ini sebab ada guru yang berkhidmat hampir sembilan tahun di kawasan pedalaman dan tidak berpeluang ditukarkan ke kawasan lain. Ada juga yang baru tiga tahun bekerja, tetapi ditukarkan ke kawasan pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan guru-guru kawasan Parlimen Hulu Selangor di Kuarters Institusi Pendidikan Guru Malaysia Kalumpang, di sini.

Katanya, satu sistem maklumat lengkap perlu ada bagi memastikan pertukaran guru dibuat secara adil.

Mohd Puad berkata adalah baik jika guru mempunyai pengalaman mengajar di kawasan pedalaman bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai syarat menjadi guru cemerlang.

Beliau juga berkata kira-kira 1,060 daripada sejumlah 3,000 guru yang berkhidmat di Parlimen Hulu Selangor adalah pengundi berdaftar. - Bernama

(petikan dari Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7582074.asp )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.